Daisypath Friendship tickers

Daisypath Friendship tickers

Friday, November 8, 2013

SIAPA KITA KETIKA ITU??

Assalamualaikum, Salam Jumaat penuh berkat. 

Sepanjang perjalanan pergi dan pulang untuk menikmati makan malam bersama kekanda sempat meluangkan masa untuk sesi luahan perasaan mengenai masalah pelajar dan remaja seangkatan dengannya. Sesi perkongsian pada kali ini lebih tertumpu kepada skop pelajar yang pernah dijumpai dan pernah berkongsi cerita mengenai hala tuju mereka selepas SPM dan juga melalui pemerhatian sendiri. 


"Cikgu, bagaimana keputusan UPSR, PMR dan SPM cikgu?"


"Cikgu, macam mana nak sambung pengajaran selepas ini?"


"Cikgu, senang tak mahu jadi cikgu?"


"Saya nak kerja, tak nak sambung belajar. Kerja di kedai makan pun OK".


"Saya suka pada dia".


Walaupun bukan bergelar seorang kaunselor, seorang guru biasa juga perlu bertindak untuk menjadi seorang motivator kepada golongan pelajar. Jangan sesekali merendahkan masalah mereka atau mentertawakan mereka. Guru perlu memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka. Guru perlu membimbing pemikiran pelajar agar mereka lebih jelas dengan perjalanan hidup mereka pada masa akan datang. Selagi mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi mereka perlu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Tidak dinafikan orang yang tidak berpendidikan juga boleh berjaya asalkan mereka mempunyai daya usaha dan berani membangunkan diri dalam sesuatu bidang. Rezeki kita memang telah tertulis namun sudah dipesan banyak kali bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha. Pada hari ini, orang yang mempunyai ijazah, sarjana mahupun diploma juga masih ramai yang terlibat dengan masalah pengangguran inikan pula bagi golongan yang kurang berjaya dalam pendidikan. Suka diingatkan sekali lagi bahawa gunakan masa yang ada untuk cuba menyambung pelajaran ke arah yang lebih tinggi. Jika anda kurang berminat untuk belajar sesuatu yang lebih kepada teori, rajinkan diri untuk mengintai peluang dalam bidang kemahiran seperti menjahit, membaiki mesin, membaiki kereta dan juga seni kulinari. Sekurang-kurangnya anda akan mempunyai suatu 'pengiktirafan' dalam sesuatu bidang dan kelayakan itu boleh digunakan untuk meningkatkan kepercayaan dan pandangan orang sekeliling pada kita. Paling tidak kita masih boleh menyumbang pada masyarakat dengan kemahiran yang kita ada. Bukan senang untuk menjadi orang yang senang.


Selain itu,  'emak ayah saya mampu tanggung saya, ulat dalam batu pun boleh hidup' dan pelbagai lagi stigma yang menghinggapi pemikiran remaja pada hari ini ternyata bakal menjerumuskan mereka ke lembah kejatuhan dan kemiskinan. Soal mampu atau tidak bukanlah idea utama di sini tetapi bagaimana dengan kualiti kehidupan yang akan anda hadiahkan untuk diri sendiri atau generasi awak yang akan datang? Kehidupan zaman sekarang yang menekan dan mendesak juga menjadi indikator bahawa taraf hidup semakin tinggi dan bagaimana mereka ingin meneruskan hidup hanya dengan menjadi pembantu di warung makan, pekerja di stor dan tukang cuci? Niat di sini bukan mahu menghina apa-apa jenis pekerjaan tetapi mahu mereka berfikir dan cuba untuk mengubah nasib diri dan keluarga agar mereka tidak merana di kemudian hari. Jika semua jadi cikgu, siapa nak kutip sampah? -soalan yang yang biasa dibidas balik untuk mempertahankan hujah mereka. Duhai adikku sayang, perjalanan anda masih jauh. Jangan hanya berfikir untuk mampu bertahan sehari dua sahaja tetapi luaskan perancangan untuk sekurang-kurangya lima tahun akan datang, SIAPA KITA KETIKA ITU?? 


Sewaktu berada di universiti atau di sekolah menengah dahulu, pemikiran atau sudut pandang ambe tidaklah seluas dan sejauh ini tetapi apabila sudah berada di dunia persekolahan nyata ambe mula bimbang. Bimbang dengan generasi yang sedia ada dan generasi akan datang. 


Sama-samalah kita berdoa agar kita semua dapat membaiki kelemahan diri masing-masing dan menambah baik kualiti hidup. Jadi orang yang lebih berguna dan berfungsi. Jangan hanya jadi 'BANGAU' yang suka beralasan. 




Lengkapkan diri dengan ilmu agama. Cintailah Al-Quran. Banyakkan membaca bahan bermanfaat. 

No comments:

Post a Comment

UnivErSiti TerCinTa

UnivErSiti  TerCinTa