Daisypath Friendship tickers

Daisypath Friendship tickers

Tuesday, November 5, 2013

YangKacauBilau

Subhanallah, cantik alam ciptaan Allah.  KK, Sabah. 

Salam Maal Hijrah buat semua yang beragama Islam. Selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Agak lama tidak menulis di ruang ini atas keterbatasan waktu dan tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Alhamdulillah masih dipinjamkan waktu untuk terus berjalan menumpang bumi tuhan yang agung ini.

Banyak perkara penting yang berlaku sejak  kebelakangan ini. Segala puji bagi Allah atas kurniaan nikmat ini. Mana lagi nikmat Tuhan yang engkau mahu dustakan?

Pengalaman sepanjang menjadii guru ganti yang akan tamat kontraknya tanggal 15 November sangat meninggalkan kesan dalam diri. Menjadi 'guru' untuk mendidik bukanlah suatu kerja yang mudah. Melihat gelagat anak muda iaitu adik-adik pelajar sekolah pada masa kini teramat mengundang keresahan. Bagaimana dari segi kehadiran mereka, pakaian mereka, lagak berjalan, cara percakapan, Astaghfirullah. Ampunkan kami Ya Allah, dugaan dan amanah yang amat berat untuk kami pikul. Dari satu aspek, kami perlu menghabiskan silibus akademik untuk bekalan duniawi dan santapan minda mereka, manakala dari satu sudut lagi, didikan akhlak dan santunan sahsiah serta suntikan ilmu agama ke dalam jiwa mereka juga tanggungjawab minor (mungkin major) kami. Semua guru harus memainkan peranan untuk menasihati dan membimbing mereka. Tugas ini tidak hanya terhad kepada golongan ustaz dan ustazah semata. Cara untuk menegir tidak semestinya harus se'formal' sesi rundingan nasihat di bilik kaunseling. Sewaktu mengajar boleh diselitkan ayat-ayat motivasi, berkongsi pengalaman guru dan guru menjadi rakan pendengar yang baik kepada pelajar. Bukan senang dan tidak mudah untuk memanusiakan manusia. Terima kasih kepada kedua orang tuaku dan adik-beradik serta guru-guruku kerana atas izin Allah jua, ambe menjadi seorang manusia pada hari ini.

Bagaimana kehidupan mereka di luar sekolah jika di dalam sekolah pun mereka kurang menghormati guru dan hanya takut kepada guru disiplin semata. 'Kurang ajar' budak yang beragama berbeza dengan 'kurang ajar' budak yang beragama. Mereka masih tahu batas-batas yang harus dijaga. Semoga para guru pada hari ini dan akan datang dikurniakan kemudahan lisan, hati yang tenang untuk menjalankan tanggungjawab ini.

Intipati yang ingin diluahkan di sini adalah kepentingan didikan agama dalam diri anak-anak. Ibu bapa tidak seharusnya meletakkan seratus peratus tanggungjawab mendidik anak mereka di atas bahu para guru. Pendidikan anak-anak bermula sejak alam rahim lagi. Perbanyakkan amalan membaca al-Quran dan zikir. Bacalah ilmu yang baik. Berboraklah dengan janin anda. Pastikan cara pemakanan adalah sihat baik dari segi cara memasaknya dan sumebr halal haram sesuatu makan itu sebelum disuapkan kepada anak sewaktu dia sedang membesar. Selain itu, bagaimana sikap kita terhadap ibu bapa kita pada hari ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap bagaimana sikap anak-anak kita nanti terhadap kita. Hormatlah orang jika mahu orang menghormati kita. Ibu bapa juga harus menunjukkan sikap dan teladan yang baik di depan anak-anak. Jangan sesekali bergaduh atau menunjukkan 'hubungan kemesraan' melampau di depan anak. Ada adab yang perlu dijaga berlandaskan agama demi menjaga keharmonian dan kerahsiaan hubungan yang mulia itu. Jagalah solat. Banyak kes pergolakan rumahtangga dan kerosakan sahsiah ahli rumah pada hari ini berpunca dari SOLAT YANG TIDAK TERJAGA. Asas sebagai muslim kurang kukuh, bagaimana mahu menjadikan RUMAH yang BERTANGGA itu berdiri megah. Ingatan Nabi Muhammad s.a.w sebelum baginda wafat juga mengingatkan agar umatnya menjaga solat.


Berbalik kepada pengalaman sebagai guru ganti, ada juga murid yang mengaku belum pandai solat. Hanya sempat membantu dengan memberi buku bacaan solat, cara mandi wajib, cara berwuduk dan hanya doa yang mampu dititipkan agar dia dipermudahkan untuk kembali kepada fitrah.

Sebagai bakal guru dan ibu mungkin, banyak perkara yang harus dipelajari sebagai bekalan untuk menjadi guru dan ibu yang baik agar dapat melahirkan pejuang agama yang baik. Doakan =)

p/s:

-Doakan jua agar urusan temuduga dan penempatan dipermudahkan.

-Jadilah orang yang mampu membuat orang ingin berubah bukan membuat orang rasa bersalah.

-Teringat pesan seorang sahabat yang dihormati, jangan letak benda yang tak kekal di hati, jika tidak hati senang nak kecewa. Hanya Allah yang kekal.


Sekian, 'posting' yang kacau-bilau dari ambe yang hina. 



No comments:

Post a Comment

UnivErSiti TerCinTa

UnivErSiti  TerCinTa